KPKT salur RM83.66 juta bagi 17 projek di Melaka
MELAKA, 18 Mei — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM83.66 juta kepada Melaka untuk merealisasikan 17 projek yang berperanan penting dalam strategi pembangunan komuniti bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri ini.
Menterinya Nga Kor Ming berkata peruntukan bagi kategori bina baharu dan projek sambungan itu yang terbesar dalam sejarah negeri Melaka dengan nilai terbesar disalurkan untuk pembinaan baharu projek Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) iaitu RM22.31 juta.
“Ini duit rakyat dan kita perlu hargai dan perlu belajar bersyukur kerana rakyat Malaysia rajin membayar cukai. Jika tidak, kita tidak mampu memberi peruntukan yang sebegitu besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Medan Selera Sultan Muhammad di Batu Berendam sempena program Sentuhan Kasih KPKT yang turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Datuk Rais Yasin.
Beliau berkata antara projek baharu yang menerima peruntukan itu ialah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Katil (RM15.5 juta), tiga projek pembangunan Kampung Baru Cina (RM4.55 juta), dua projek Program Penyelengaraan Perumahan dan Tabung Penyelengaraan Perumahan Malaysia (RM7.5 juta) dan Projek Naik Taraf Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu (RM500,000).
Turut mendapat impak dari peruntukan itu Projek Pasar Jasin (RM3.5 juta), Projek Pembangunan Pihak Berkuasa Tempatan Melaka (RM8 juta), Projek Naik Taraf Taman Awam dan Pembangunan Persekitaran Kehidupan Negeri Melaka (RM1.5 juta), Projek Pembinaan Sel Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Udang (RM3 juta) dan dua projek Program Baik Pulih Rumah dan Bina Baharu di Bandar (RM3.75 juta) serta Kajian Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (RM1 juta)
Sementara itu, projek sambungan Program Perumahan Rakyat Pulau Gadong pula akan menerima peruntukan sebanyak RM12.55 juta.
“Saya ingin tegaskan semua projek yang dinyatakan akan bermula hari ini dan wajib siap pada hujung tahun ini. Pada 31 Dis akan datang ini, pegawai dari KPKT sendiri akan turun padang dan memeriksa sama ada semua kerja yang dilakukan memuaskan atau tidak.
“Ini kerana saya percaya kepuasan rakyat menjadi kebanggaan semua yang berada di bawah KPKT dan saya juga berharap pihak yang menerima peruntukan itu wajib mematuhi Cost Benefit Analysis kerana kita akan memantau ketat bagaimana peruntukan ini digunakan,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.