KPKT rancang tutup tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada
Menteri berkenaan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata tapak pelupusan itu akan digantikan dengan stesen pemindahan yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan sisa di kawasan yang strategik.
“Sisa pepejal akan dihantar ke situ sebelum dilupuskan ke tapak pelupusan sisa pepejal sanitari berpusat, yang dilengkapi dengan loji rawatan air larut resap, lapisan liner dan sebagainya bagi memastikan kelestarian alam sekitar.
“Selain itu, kementerian juga merancang membina loji rawatan sisa pepejal waste to energy (WtE) atau sisa kepada tenaga di negeri yang menerima pakai Akta 672 bagi mengatasi isu kekurangan tapak yang bersesuaian bagi membina tapak pelupusan sanitari,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai perancangan KPKT bagi mengurangkan penggunaan tapak pembuangan sisa pepejal yang terbuka supaya dapat meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar.
Reezal Merican berkata walaupun Terengganu tidak mengguna pakai akta itu, KPKT komited untuk memperkenalkan loji WtE di negeri itu bagi membantu pengurusan sisa pepejal.
Menurutnya, projek loji WtE tidak terhad kepada teknologi insinerator sahaja, sebaliknya boleh menggunakan teknologi lain seperti Anaerobic Digestor (AD), pirolisis, gasifikasi dan sebagainya.
Menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai jumlah kawasan pelupusan sisa pepejal mengikut jenis di Negeri Sembilan dan teknologi yang digunakan bagi loji WtE, Reezal Merican berkata loji WtE di Tanah Merah, Port Dickson dijangka beroperasi tahun ini.
“Negeri Sembilan adalah antara negeri pertama diperkenalkan dengan loji WtE dan loji ini adalah yang pertama beroperasi bagi percubaan dan commissioning tahun ini.
“Kalau ada teknologi lain yang boleh menyumbang kepada mengurangkan sisa di tapak pelupusan, KPKT sedia dan terbuka untuk pertimbangkannya,” katanya.
Sementara itu, menteri itu mengakui tahap kepedulian langkah pengasingan sisa pepejal di punca (SAS) dalam kalangan masyarakat amat rendah, walaupun terdapat inisiatif pembersihan sisa pepejal 3+1 iaitu tiga hari kutipan sisa biasa dan satu hari sisa kitar semula dilaksanakan.
Bagaimanpun, KPKT komited untuk melipatgandakan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengamalkan SAS, katanya menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) mengenai usaha KPKT untuk meningkatkan kesedaran melaksanakan SAS. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.