Sorting by

×

KPKT gesa PBT proaktif selenggara perparitan kurangkan risiko banjir kilat

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

PUTRAJAYA, 19 Dis – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melipatgandakan usaha menyelenggara sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir kilat semasa monsun timur laut (MTL) melanda negara.

KPKT dalam kenyataan hari ini meminta PBT untuk mengenal pasti kawasan parit, longkang, pembetung dan kolam takungan yang berisiko menyebabkan kejadian banjir serta melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi berkenaan bagi melancarkan aliran air.

“PBT juga disyorkan untuk memperbaiki sistem perparitan, longkang dan pembetung yang rosak atau menaik taraf parit yang berisipadu rendah.

“Pihak PBT telah diminta supaya mempergiat pelaksanaan tindakan proaktif untuk mengurangkan risiko banjir kilat semasa MTL,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming meminta PBT untuk memantau dan memastikan pemaju projek pembangunan supaya sentiasa menyelenggara parit, longkang, sistem pembetungan dan kolam takungan serta menjaga kebersihan kawasan pembangunan.

Nga juga menggesa PBT memastikan anggota, fasiliti, peralatan dan jentera mereka sentiasa siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

“Demi kesejahteraan rakyat, tindakan proaktif ini dapat mengurangkan risiko banjir dengan lebih berkesan,” katanya.

Mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia, luruan kedua MTL yang dijangka berlaku hingga Rabu ini akan memberi impak di kawasan berisiko tinggi termasuk banjir kilat di bandar-bandar.

–BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3657
Kongsi :
Previous post Tiga beradik maut terkena renjatan elektrik di Tumpat – Polis Kelantan
Next post Rumah ibarat ‘bom jangka’, agensi terlibat diminta selesaikan segera – Zahari
Ubah saiz-+=