Sorting by

×

KPDNHEP rampas selipar dan kasut jenama tiruan bernilai RM12,800

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 4 Mei. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka merampas 846 selipar dan kasut jenama sukan antarabangsa bernilai RM12,800 dalam serbuan di sebuah rumah di Krubong di sini, semalam.

Pengarah KPDNHEP negeri Norena Jaafar berkata, hasil maklumat daripada syarikat jenama sukan berkenaan pihaknya menyerbu rumah yang dijadikan lokasi penyimpanan stok barangan dan operasi jualan pada jam 3 petang membabitkan lapan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP.

Katanya, hasil serbuan menemukan 345 kasut dan 501 selipar disyaki barangan tiruan daripada dua jenama sukan antarabangsa.

Anggota penguat kuasa KPDNHEP Melaka memeriksa kasut jenama antarabangaa tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Krubong di sini semalam.

“Berikutan itu, semua barangan itu dirampas dan nilai rampasan dianggarkan RM12,800.

“Dalam serbuan itu, kita turut menahan lelaki berusia 25 tahun dipercayai menjual barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Norena berkata, siasatan awal dijalankan oleh wakil pemilik cap dagang ke atas satu akaun e-dagang yang aktif menjual pelbagai jenis kasut dan sandal berjenama.

“Pemilik premis dipercayai aktif menjalankan perniagaan berkenaan sejak tiga bulan lalu dan dipercayai menjual kasut dan selipar dari pelbagai jenama pada harga bermula dari RM25 hingga RM 150.

“Modus operandi perniagaan ini adalah melalui urusniaga dalam talian sahaja dan barangan akan dipos dengan menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya.

Norena berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagang 2019 iaitu kesalahan mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan bagi maksud perdagangan atau pengilangan cap dagangan yang salah.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM15,000 bagi pertubuhan manakala denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

696
Kongsi :
Previous post Lari ‘tak cukup tanah’ nampak penguat kuasa JAIM
Next post SPRM siasat jika ada unsur penawaran wang terhadap ahli politik lompat parti
Ubah saiz-+=