KPDNHEP pertimbang cadangan pamer notis larangan isi petrol bersubsidi di pintu sempadan
PADANG BESAR, 15 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mempertimbangkan cadangan pengusaha stesen minyak agar notis larangan pembelian petrol RON95 melibatkan kenderaan asing  diletakkan di pintu masuk sempadan negara.
Ketua Setiausaha KPDNHEP Azman Mohd Yusof berkata perkara itu merupakan satu cadangan yang baik dalam usaha mengelakkan kenderaan asing mengambil kesempatan mendapatkan petrol bersubsidi berkenaan yang dikhaskan untuk warganegara Malaysia.
“Notis awal yang dipamerkan ini dapat disediakan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Thai supaya pengembara luar dapat melihat maklumat awal sebelum masuk ke negara.
Kita akan cuba melihat dari sudut keberkesanan pelaksanaan itu terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya selepas turun padang bagi lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di sini hari ini.
Hadir sama dalam lawatan kerja berkenaan adalah Timbalan Pengarah Penguat kuasa (Operasi) KPDNHEP Shamsul Nizam Khalil dan Pengarah KPDNHEP Perlis Norazah Jaapar.
Selain itu, Azman berkata bagi tempoh bermula 1 Januari sehingga April tahun ini, sebanyak 94 kes penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi di pintu sempadan negara telah direkodkan oleh KPDNHEP dengan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM7.88 juta.
“KPDNHEP memandang serius isu ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi terutamanya yang berlaku di pintu-pintu sempadan negara memandangkan ia memberi impak kerugian besar kepada negara,” katanya.
Azman berkata bagi keselamatan anggota KPDNHEP, pihaknya berpandangan terdapat keperluan buat anggota penguat kuasa agensi berkenaan dilengkapi dengan fasiliti kawalan sempadan sewaktu menjalankan tugas.
Katanya terdapat juga perancangan bagi membekalkan senjata api kepada anggota penguat kuasa KPDNHEP tertentu selaras dengan lokasi mereka bertugas.
“Buat masa ini perlu ada kajian terlebih dahulu bagi melihat berapa banyak keperluan senjata api diperlukan dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP), lesen, peruntukan dan lain-lain lagi.
Kita juga berhasrat untuk minta peruntukan bagi penyediaan kenderaan bermotor untuk memudahkan anggota menjalankan tugas namun perkara ini perlu dikaji terlebih dahulu,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.