Sorting by

×

KPDNHEP Melaka keluar notis dapatkan maklumat kenaikan harga telur

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

PAYA RUMPUT 25 Julai – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka akan mengeluarkan notis bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga telur ayam di beberapa pasar raya utama di negeri ini.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pihaknya juga akan merekod harga jualan telur secara harian untuk mengawal kenaikan mendadak harga barang mentah itu.

Menurutnya, Pegawai Pemantau Harga juga akan digerakkan untuk pemeriksaan rutin bagi membendung perkara ini daripada berlarutan.

“Biasanya barangan mendapat permintaan tinggi seperti ayam, daging lembu, telur dan kelapa akan mengalami kenaikan harga terutama semasa musim perayaan.

“Kenaikan harga telur pula biasanya bergantung permintaan dan penawaran pasaran.

“Bagaimanapun, KPDNHEP Melaka sentiasa memantau kenaikan harga semua barang dengan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dihubungi Melaka Hari Ini.

Norena juga memberi jaminan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana peniaga jika didapati menjual barangan kawalan melebihi harga ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya belum menerima aduan kenaikan harga telur dan menasihati pembeli supaya mengelak pembelian panik kerana bekalannya masih stabil di Melaka.

“Disarankan pengguna mendapatkan maklumat melalui ‘price catcher’ bagi membuat perbandingan sebelum membuat pembelian.

“Kita juga minta pengguna melaporkan terus kepada KPDNHEP Melaka sekiranya berlaku kenaikan mendadak harga barangan dan bukannya sekadar memuat naik di media sosial,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

756
Kongsi :
Previous post COVID-19: Melaka terus pantau elak pertambahan kluster baharu
Next post Segera buat aduan jika pekerja dikenakan bayaran untuk PIKAS – MITI
Ubah saiz-+=