
KPDNHEP kaji harga patut runcit kit ujian COVID-19
Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tujuan kajian adalah untuk menentukan harga runcit alat ujian kendiri COVID-19 pada harga yang bersesuaian dan tidak membebankan pengguna.
“KPDNHEP sedang menjalankan libat urus dan kajian kos dan harga serta bekalan alat ujian kendiri COVID-19 terhadap syarikat-syarikat yang telah dilesenkan meliputi setiap rantaian pengedaran, pembekalan hingga peringkat runcit seperti farmasi dan klinik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nanta berkata kit ujian kendiri COVID-19 adalah keperluan penting kepada pengguna untuk mengurus dan menjaga keselamatan kesihatan secara kendiri dalam situasi semasa negara berhadapan dengan cabaran wabak COVID-19.
Pada masa sama, Nanta berkata KPDNHEP juga menyarankan agar pengguna lebih berhati-hati dengan pembelian kit ujian kendiri di pasaran dengan membuat rujukan di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (eng: Malaysia Device Authority-MDA).
Rujukan boleh dibuat di pautan https://portal.mda.gov.my/ mengenai senarai syarikat yang telah diluluskan untuk mengedar dan menjual kit ujian bagi kegunaan awam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.