KPDN tumpu Biz-BERKAT di 4 negeri
BANDA HILIR 14 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi tumpuan kepada empat negeri yang mengadakan tahun melawat negeri bagi pelaksanaan Sesi Advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata selain Melaka, tiga negeri lain adalah Perlis, Perak dan Kelantan.
Katanya, objektif pelaksanaan Biz-BERKAT adalah untuk meningkatkan kesedaran dan komitmen dalam kalangan para peniaga untuk mematuhi kod etika, peraturan dan undang-undang perniagaan.
“KPDN akan meningkatkan lagi sesi advokasi Biz-BERKAT, aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan di kawasan-kawasan tumpuan tarikan pelancong.
“Sesi Advokasi Biz-BERKAT merupakan inisiatif baharu KPDN bagi tahun 2024 di bawah teras strategi Ketangkasan Penguatkuasaan.
“Ini penting untuk memastikan para peniaga di negeri terlibat ini memahami kepentingan mematuhi kod etika dan perundangan perniagaan sebagai faktor tarikan kepada para pelawat dan
pelancong sekali gus melonjakkan imej negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi walkabout pemantauan penguatkuasaan di Jonker Walk di sini malam tadi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin bersama timbalannya, Tuminah Kadi @Mohd Hashim dan Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar.
Armizan turut memaklumkan Melaka merupakan negeri pertama Walkabout Advokasi Biz-BERKAT dilaksanakan tahun ini bersesuaian dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Mengulas lanjut, Armizan berkata tujuan pelaksanaan Biz-BERKAT itu termasuk pematuhan kepada Akta Perihal Dagangan 2011 seperti larangan untuk memberikan maklumat dan perihal dagangan palsu ke atas barang-barang, harga dan perkhidmatan termasuk berkaitan pensijilan halal.
“Pada masa yang sama, tanggungjawab untuk mempamerkan tanda harga dan larangan untuk mencatut harga iaitu menaikkan harga pada kadar margin yang tidak munasabah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
“Begitu juga peraturan berhubung penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
“Inisiatif ini juga bertujuan untuk memastikan aktiviti penguatkuasaan perlu hadir bersama aktiviti advokasi pematuhan kod etika dan perundangan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.