
KPDN RAMPAS MINYAK ENJIN TIRUAN BERNILAI RM1.15 JUTA
TANGGA BATU 21 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas produk minyak enjin kenderaan motor tiruan bernilai RM1.15 juta bagi tempoh Januari 2019 hingga Februari 2025.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata mengikut statistik KPDN, bagi tempoh sama sebanyak 240 aduan diterima dan susulan itu 36 tindakan kes telah diambil.
“KPDN bertanggungjawab mengekang dan membanteras penjualan produk serta barangan tiruan. Kali ini inisiatif baharu telah kita laksanakan iaitu membanteras penjualan atau penghasilan minyak enjin kenderaan motor tiruan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Program Penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor) 2024 di Petronas Melaka Lube Blending Plant Kawasan Perindustrian Tangga Batu, di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha KPDN (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri), Datuk Roziah Abudin; Pengerusi SIRIM QAS International Sdn Bhd, Datuk Omar Shariff Mydeen; dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Lubricants International Sdn Bhd, Khalil Muri.
Ujarnya, KPDN serius membanteras isu minyak enjin kenderaan tiruan dan buktinya satu penggubalan perintah baharu telah dilaksanakan di bawah Akta Perihal Dagangan.
“Pihak KPDN telah menggubal perintah baharu di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor) 2024.
“Perintah ini telah diwartakan pada 11 Oktober 2024 dan akan berkuat kuasa pada 7 April 2025 yang mana perintah ini digubal melalui seksyen 29, Akta 730 sebagai punca kuasa untuk melantik SIRIM QAS International Sdn Bhd sebagai pihak berkuasa berwibawa yang bertanggungjawab memperakukan dan mengeluarkan label pematuhan produk,” katanya.
Tambahnya, beliau mengharapkan setiap pihak terbabit terutamanya syarikat pengeluar dapat mengikut perintah ini dan jika ada pihak yang tidak mematuhi perintah yang ditetapkan, maka tindakan akan diambil di bawah Akta Perihal Perdagangan.
“Selepas dikuatkuasakan bermula 7 April nanti, sebarang penjualan dan penghasilan minyak enjin kenderaan motor perlu mempunyai label pematuhan produk.
“Perintah ini turut terpakai kepada minyak enjin kenderaan motor dari luar negara, maka pihak pembekal perlu pastikan setiap produk berkaitan dapat pengiktirafan dari SIRIM QAS International Sdn Bhd,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.