Sorting by

×

KPDN Melaka ‘terjah’ peniaga cuba ambil kesempatan

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 23 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka akan mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Tegas Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar, tindakan itu berikutan pihaknya menerima aduan terdapat segelintir peniaga makanan mula berhasrat menaikkan harga sehingga 200 peratus menjelang tahun penting Negeri Melaka yang bermula 1 Januari ini.

Katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu kebanyakannya dikesan membabitkan peniaga makanan yang beroperasi di kawasan tumpuan pelancong dan premis yang memperkenalkan ‘menu tular’ di platform media sosial.

“Kebanyakan peniaga yang dikesan dalam kawasan pelancongan dalam Daerah Melaka Tengah dan yang melibatkan makanan-makanan ‘viral’.

“Kita (KPDN) sentiasa memantau sehingga di aplikasi media sosial, semua kita pantau dan kita kaji barangan yang dijual dan harga yang ditawarkan. Tidak ada yang terkecuali.

“Kebanyakan peniaga ini mereka mengambil kesempatan dengan menaikkan harga terlalu tinggi sehingga 200 peratus, ada juga yang menjual tidak sama seperti yang dinyatakan (tanda harga) dan bagi saya itu satu penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Penguatkuasaan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.

Terdahulu, program itu telah disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan turut dihadiri Timbalannya, Tuminah Kadi @Mohd Hashim.

Mengulas lanjut, Norena berkata selain kawasan tumpuan pelancong, penguatkuasa KPDN turut membuat pemantauan di festival atau pesta jualan makanan di negeri ini yang dikesan menaikkan harga terlalu tinggi.

Jelasnya, tindakan peniaga makanan tidak bertanggungjawab seperti itu seolah-olah cuba menggagalkan usaha Kerajaan Negeri dalam menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.

“KPDN Melaka akan sentiasa mengadakan operasi secara mengejut atau Ops Terjah ke premis yang disyaki melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab ini.

“Kita akan terus mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap premis yang didapati mengenakan kadar harga makanan tidak masuk akal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2863
Kongsi :
Previous post 14 barangan harga terkawal sempena Krismas
Next post Tower Hunt TMM2024 bakal libatkan 4 menara
Ubah saiz-+=