
KOTOR: TIGA DAPUR HOTEL DIARAH TUTUP
PENGKALAN BATU 5 Mac – Tiga hotel di negeri ini diarah tutup 14 hari kerana didapati beroperasi dalam keadaan kotor terutama di bahagian dapur.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, hasil penilaian mendapati tahap kebersihan kesemua premis itu di bawah 75 peratus.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan ketiga-tiga hotel berkenaan telah dibenarkan untuk kembali beroperasi selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan.
“Kesalahan itu dikesan menerusi operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan pada akhir bulan lalu. Berdasarkan pemeriksaan dijalankan terhadap tiga dapur hotel itu kita dapati tahap kebersihan tidak memuaskan.
“Namun, pemilik hotel telah membuat kerja-kerja pembersihan dan hasil pemeriksaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), kerja-kerja pembersihan yang dijalankan adalah memuaskan dan kesemua hotel telah dibenar untuk kembali beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Peluncuran Kempen Perhati dan Pilih Pasar Ramadan ‘Pelihara Sinar Ramadan Dengan Makanan Selamat’ di Pasar Ramadan Peringgit di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Siti Faizah Abdul Azis; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.