Kos bina seunit rumah naik lebih RM20,000?

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KESIDANG 13 Julai – Pemaju perumahan di seluruh negara termasuk Negeri Melaka menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan kos bahan mentah binaan yang dilihat tidak berkesudahan sehingga hari ini.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka Datuk Ngoh Chun How berkata, situasi itu menyebabkan kos pembinaan bagi seunit rumah naik di antara RM20,000 hingga RM30,000.

Katanya kenaikan harga mesin dan bahan mentah yang biasa digunakan untuk pembinaan semakin ketara apabila ia meningkat sehingga 30 peratus berbanding awal tahun ini.

Justeru, beliau meminta kerajaan untuk mencari alternatif terbaik bagi menangani isu berkenaan dalam memastikan harga rumah tidak meningkat dengan ketara pada tahun-tahun mendatang.

“Kenaikan ini memberi kesan cukup besar kepada pemaju memandangkan terpaksa membina projek perumahan mengikut komposisi yang dikawal kerajaan.

“Antara beban yang ditanggung adalah membabitkan pembinaan Rumah Mampu Milik, di mana kos bahan mentah yang naik menyebabkan semakin sukar untuk menepati garis panduan yang ditetapkan.

“Jadi, kami mewakili REHDA Melaka berharap kerajaan dapat melihat mengenai perkara ini dengan lebih mendalam demi kebaikan industri hartanah di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pameran Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Melaka edisi pertama 2024 di Pejabat REHDA, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Chun How berharap, orang ramai khususnya rakyat Negeri Melaka mengunjungi MAPEX 2024 pada 23 hingga 28 Julai ini bertempat di Pusat Beli Belah Aeon Bandaraya Melaka untuk memiliki rumah impian mereka sebelum harga rumah dijangka terus meningkat tidak lama lagi.

Katanya, ekspo selama enam hari itu menawarkan sebanyak 4,380 unit hartanah pelbagai jenis pada harga serendah RM70,000 hingga RM1.9 juta.

Ekspo anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka itu akan berlangsung selama enam hari pada 23 hingga 28 Julai ini bertempat di Pusat Beli Belah Aeon Bandaraya Melaka.

“Di MAPEX 2024, harga rumah yang dijual masih pada harga lama, jadi kita menggalakkan orang ramai untuk datang dan mendapatkan kediaman impian mereka di sini sebelum harga hartanah meningkat pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

208
Kongsi :
Previous post Melaka rencana lebih banyak produk pelancongan baharu
Next post Menara Taming Sari semakin meriah di penghujung tahun
Ubah saiz-+=