Sorting by

×

KORIDOR UTILITI MELAKA SELARAS SISTEM UTILITI, INFRASTRUKTUR NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

SERI NEGERI 15 November – Penubuhan Koridor Utiliti Melaka (KUM) dijangka dapat melancarkan proses melibatkan Pelan Pemetaan Pengesanan Bawah Tanah (UDM), kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu Ketua Menteri berkata, penubuhan KUM juga adalah seiring dengan hala tuju untuk memacu ekonomi Negeri Melaka agar menjadi lebih baik.

Ketua Menteri berkata penubuhan KUM bertujuan melaksanakan sebahagian fungsi Bahagian Koridor Infrastruktur dan Impak Sosial (BKI) sedia ada sebagai ‘first entry point’ bagi permohonan UDM.

“Dengan penubuhan KUM ini yang dijangka bermula pada 1 Januari 2025, ia dapat melancarkan lagi kerja-kerja melibatkan UDM dan tiga skop baharu KUM. Tiga skop itu adalah kerja-kerja rangkaian fiber optik akses terbuka (Open Access), gentian optik bersepadu dan guna sama (Overhead Pole) serta terowong utiliti bersepadu atau Dedicated Utilities Road Crossing (DURC).

“Besar harapan saya agar syarikat Koridor Utiliti Melaka Sdn Bhd dapat melaksanakan perkhidmatan berkualiti. Ia bagi memastikan pembangunan koridor infrastruktur utiliti lebih terancang dan mematuhi syarat yang termaktub dalam perjanjian ditandatangani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Penubuhan Koridor Utiliti Melaka Antara Kerajaan Negeri dan Koridor Utiliti Melaka Sdn Bhd di Bilik Tun Mutahir Seri Negeri di sini, hari ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Dato’ Azhar Arshad bagi pihak Kerajaan Negeri manakala KUM Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismael Hamdan.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Khairul Azreem Mamat.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Md Azhan Samat; Setiausaha Bahagian Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Wan Rafidah Awg Isa.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri bersetuju empat konsesi mendapat tawaran dan menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Negeri akan terus terpelihara yang mana semua konsesi itu akan diletakkan di bawah KUM.

“Menerusi cadangan itu tempoh perjanjian yang dipersetujui adalah selama 10 tahun dan tambahan lagi lima tahun berdasarkan pertimbangan.

“Saya percaya usaha ini akan memberi impak positif kepada pembangunan Kerajaan Negeri, sekali gus dapat menyelaras sistem utiliti dan infrastruktur lebih tersusun dan bersistematik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

310
Kongsi :
Previous post JALAN SEHALA ALTERNATIF PENYURAIAN TRAFIK, KURANGKAN KEMALANGAN
Next post ANAK DIKHUATIRI LEMAS, IBU SELAMAT KETIKA MANDI SUNGAI DI GERIK
Ubah saiz-+=