Sorting by

×

Koridor Ekonomi Anjung Selatan gabung Melaka, Johor dan Negeri Sembilan

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat
JASIN 25 Julai – Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan Koridor Ekonomi Anjung Selatan antara tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kewujudan koridor ekonomi itu dapat mencuri perhatian pihak persekutuan dalam melengkapkan keperluan antara sesama negeri.
Menurut beliau cadangan tersebut antara perkara yang dibincangkan dalam Retreat Pembangunan Intelektual dan Kepimpinan Bagi Ketua Agensi dan Anak Syarikat Serta Bengkel Pemantapan Kutipan dan Cadangan Hasil Baharu Negeri Melaka Tahun 2024, baru-baru ini.
“Kita juga bercadang menganjurkan seminar berkaitan koridor ekonomi ini dengan menjemput Menteri Besar daripada kedua-dua negeri (Johor dan Negeri Sembilan) tersebut.
“Semua Menteri Besar ini akan berkampung di Melaka bagi memulakan langkah terhadap cadangan mewujudkan koridor tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri bagi Bulan Julai 2024 dan Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Alamanda Jasin, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri juga memandang serius terhadap projek-projek yang masih ‘tersekat’ di peringkat pra-pelaksanaan.
Tegas beliau, tindakan segera perlu dibuat dengan mengenal pasti punca kelewatan bagi memastikan peringkat ‘pra-pelaksanaan projek’ itu dapat beralih kepada peringkat pelaksanaan fizikal di tapak.
“Semua tindakan melibatkan ‘submission dan approval’ khususnya kepada jabatan-jabatan teknikal dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu dipercepatkan agar dapat mengadakan Mesyuarat OSC khas.
“Ia bagi memastikan status projek sentiasa ‘a head of time’ agar dapat disiapkan mendahului jadual,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1039
Kongsi :
Previous post Media perlu pertingkat ilmu teknologi digital masa kini
Next post 6 harapan kepada penjawat awam Melaka
Ubah saiz-+=