Koridor Ekonomi Anjung Selatan beri manfaat tiga negeri

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

JASIN 25 Julai – Cadangan mewujudkan Koridor Ekonomi Anjung Selatan mampu memberi manfaat kepada ketiga-tiga negeri terlibat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, kerjasama antara Melaka, Johor dan Negeri Sembilan itu secara tidak langsung memberi pulangan ekonomi dalam sektor ekopelancongan serta perindustrian.

“Kita mesti wujudkan satu koridor yang boleh membawa pulangan bersama yang memberi manfaat kepada penduduk dan rakyat di ketiga-tiga negeri ini. Justeru, saya cadangkan satu jawatankuasa induk dibentuk bagi rundingan, memulakan gerak kerja dan mengkaji kerjasama yang bakal dilaksanakan.

“Pertama kerjasama dalam industri pelancongan memandangkan sempadan Negeri Sembilan dan Melaka ini terkenal dengan ekopelancongan, maka boleh dijadikan satu kerjasama yang baik.

“Begitu juga sempadan Negeri Johor dan Melaka, dalam kaedah industri pelancongan boleh kita majukan bersama untuk memberi pulangan kepada rakyat dalam satu ekosistem pelancongan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri bagi Bulan Julai 2024 dan Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Alamanda Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Katanya, kerjasama perindustrian membabitkan lokasi di sempadan di ketiga-tiga negeri juga akan dibincangkan supaya apabila dilaksanakan nanti ia dapat memberikan pulangan kepada rakyat.

“Insya-Allah kita akan mulakan perbincangan tidak lama lagi bagi merealisasikan inisiatif ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

109
Kongsi :
Previous post Atlet wushu berpotensi sumbang emas
Next post Insentif tambahan ‘suntik’ semangat atlet Sukma
Ubah saiz-+=