Korek jalan tanpa kebenaran, pemaju berdepan tindakan keras
GANGSA 7 Januari – Permukaan jalan rosak dan tidak rata di Jalan Gangsa menuju ke Batu Berendam (berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka) berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pemaju perumahan berhampiran.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, hasil siasatan mendapati pemaju berkenaan didapati melakukan kerja pengorekan jalan tanpa kebenaran.
Katanya, pihak terbabit bukan sahaja tidak mendapat kebenaran Jabatan Kerja Raya (JKR) Alor Gajah, bahkan kerja-kerja itu juga dilaksanakan tanpa meletakkan tanda-tanda amaran sehingga menyebabkan berlaku kemalangan.
“Susulan itu, saya telah mengarahkan kerja-kerja dihentikan pada 5 Januari dan JKR telah bertemu pemaju sebelum jalan itu diturap semula pada sebelah petang.
“Saya juga telah meminta Badan Koridor Infrastruktur (BKI) Melaka untuk mengambil tindakan keras kepada pemaju berkenaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Rahmad berkata, laporan polis juga telah dibuat oleh JKR Alor Gajah ke atas pemaju berkenaan kerana telah melakukan kerja pengorekan jalan tanpa kebenaran di atas jalan awam.
“Kerajaan Negeri memandang serius isu ini dan berharap tindakan tegas dikenakan ke atas kontraktor terlibat dan pihak pemaju yang telah mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jalan raya,” tegasnya.
Terdahulu, seorang pengguna Facebook memuat naik video menunjukkan keadaan jalan yang rosak teruk di Jalan Gangsa menghala ke Batu Berendam.
Video berdurasi 31 saat itu turut menunjukkan keadaan sebuah kereta dan motosikal yang terbabit kemalangan ketika melalui jalan berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.