Korbankan tidur demi bertemu pengundi – Roslan
MERLIMAU 16 November – “Setiap hari saya pulang ke rumah jam tiga pagi, selepas solat subuh jam 6.30 pagi saya akan membuat persediaan menunggu jentera untuk bergerak ke lokasi yang dirancang bertemu pengundi”.
Itu kata Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin, Datuk Roslan Ahmad yang berkongsi jadual hariannya semasa tempoh berkempen selama 14 hari pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk bertemu pengundi-pengundi di kawasan itu.
“Bermula awal kempen memang boleh dikatakan pagi, petang, siang, malam, subuh, senja sampai esok dan sehingga Jumaat malam program saya masih berterusan.
“Biasanya jam 7.30 pagi saya dah keluar rumah bergerak ke destinasi yang kita rancang, nak cakap pasal tidur memang sekarang tiada waktu tidur, kadang-kadang saya tidur dalam kereta untuk ambil tenaga, ada kalanya tak sempat mandi dari keluar sampailah balik rumah jam 3 pagi.
“Kita tunggulah pada 19 November ini, insya-Allah saya cuba ronda semua 38 Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada setiap pagi dan tenghari, sebelah petang pula saya akan lihat apa yang perlu dikemas kini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas melakukan ziarah kasih di Kampung Batu Gajah dan Perjumpaan Bersama Jentera di Bilik Gerakan DUN Merlimau di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang.
Katanya berbaki dua hari ini beliau akan cuba sehabis baik untuk bertemu kesemua pengundi biarpun masa diperlukan sudah singkat.
“Demi bertemu seramai mungkin pengundi, saya akan lakukan apa sahaja sepanjang berkempen 14 hari ini, walaupun orang kata saya dah ‘season’ (tua) di Jasin khususnya di Merlimau kerana sudah dua penggal saya di sini, tetapi saya akan berusaha melakukan yang terbaik bertemu mereka.
“Terima kasih kepada semua jentera parti yang bertahan selama 14 hari melakukan kerja tanpa erti penat…nak dibandingkan dengan nilai wang ringgit memang tidak boleh tetapi saya percaya mereka (jentera) lakukan ini demi bangsa, agama dan tanah air,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.