Sorting by

×

Korban Mega Kenduri Sekampung tumbang 20 ekor lembu

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SUNGAI RAMBAI 26 Jun – Kira-kira 20 ekor lembu akan dikorbankan dalam Program Korban Mega Kenduri Sekampung peringkat Parlimen Jasin yang akan diadakan pada sambutan Hari Raya Aidiladha pada 10 Julai dan 11 Julai ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis berkata program buat julung kalinya yang diadakan itu menggabungkan program ibadah korban dari semua sembilan masjid di bawah daerah Jasin.

Katanya, Masjid Al- Hasanah, Sungai Rambai akan menjadi lokasi kesemua lembu itu disembelih, dan dilapah secara bergotong-royong.

“Kira-kira 5,000 peserta yang mengambil bahagian dalam program Korban Mega Kenduri Sekampung peringkat Parlimen Jasin ini.

“Semua pemimpin masyarakat telah dipanggil bermesyuarat untuk diagihkan tugasan dari persiapan tempat ke acara merewang berjemaah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mempengerusikan Mesyuarat pelaksanaan Penganjuran Program Korban Mega Kenduri Sekampung Peringkat Parlimen Jasin di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai hari ini.

Dalam mesyuarat itu kira-kira 25 pemimpin masyarakat terdiri daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung-kampung dan wakil-wakil badan agensi kerajaan yang akan turut sama menjayakan program korban kali ini.

Mengulas lanjut, Siti Faizah berkata penganjuran program korban itu bersama kenduri sekampung adalah bagi meraikan juga kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu serta sebagai persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang tidak lama lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1244
Kongsi :
Previous post NUBE desak pecat pemangku CEO dan GPO MBSB
Next post JKR tambah baik aspek keselamatan di dua selekoh maut
Ubah saiz-+=