Korban lembu sado RM30,000
DURIAN TUNGGAL 29 Jun – Berniat mahu mengagihkan daging korban kepada asnaf dan penduduk kampung, seorang lelaki sanggup membeli seekor lembu sado pada harga RM30,000 sempena Aidiladha tahun ini.
Muhammad Jantan, 28, berkata, lembu berwarna coklat yang pernah memenangi gelaran ‘King of Sado’ dalam himpunan Lembu Sado Utara 2022 dan 2023 itu dibeli menerusi kenalannya dan tiba di Melaka, semalam.
Menurutnya, lembu itu akan dikorbankan di rumah keluarganya di Bukit Balai, di sini, pada Sabtu ini dan kemudian akan diagih kepada kira-kira 700 penduduk terutama golongan asnaf dan golongan B40, di kampungnya.
“Saya telah menyimpan kira-kira RM2,500 sebulan sejak Jun tahun lalu, sebelum berjaya membeli lembu sado berusia tiga tahun ini menerusi kenalan.
“Pemilik lembu pada asalnya enggan menjual kerana begitu menyayangi lembu ini malah, tuannya menjaga dengan baik dan lembu ini mandi dua kali sehari.
“Pada mulanya dia enggan menjual untuk perniagaan dan sebagainya, namun apabila saya memaklumkan ia untuk ibadah korban, tuan lembu akhirnya bersetuju untuk menjualnya,” katanya ketika ditemui pemberita.
Bapa kepada dua anak itu berkata, sejak berusia 18 tahun lagi dia telah melaksanakan ibadah korban memandangkan dia mampu untuk melakukannya, kecuali ketika pandemik COVID-19 melanda pada tahun 2020 dan 2021 yang lalu.
Dia yang bekerja sendiri berkata, sebelum ini, lembu biasa yang dibeli untuk korban berharga sekitar RM3,000 dan kini telah mencecah RM5,000 seekor.
Bagaimanapun, katanya, untuk lembu sado, ini merupakan kali pertama dia melakukannya kerana berhasrat mengagihkan dagingnya kepada lebih ramai penduduk.
“Bagi memastikan ibadah ini berjalan lancar, kita telah bersedia dengan lebih ramai petugas untuk menumbangkan lembu, termasuk mendapat kerjasama pihak masjid.
“Ini bagi memastikan proses melapah dan agihan itu nanti berjalan lancar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.