Korban demi mengawal perairan negara
KUALA LINGGI 22 April – Tiada yang lebih membahagiakan bagi anak perantau pulang berhari raya bersama keluarga tersayang namun itulah harga pengorbanan yang perlu dibayar demi tugas menjaga keselamatan di perairan negara.
Bagi Laskar Kanan Maritim, Mohd Asrul Mohd Lazim, 38 dia memilih kerjaya ini kerana minat mendalam untuk berkhidmat untuk negara dan tidak dapat pulang beraya bersama keluarga adalah pengorbanan yang besar perlu dihadapi sepanjang kerjayanya.
“Bukan sekali dua saya tidak pulang berhari raya, jadi ia sudah menjadi rutin biasa terpaksa ‘mengorbankan’ masa untuk bersama keluarga selain memberi peluang kepada rakan setugas lain yang sebelum ini sudah bertahun-tahun tidak pulang beraya,” katanya.
Bagi Laskar Kanan Maritim Adnan Abdullah, 37 berkata isteri dan anak-anak sudah memahami tugasnya sebagai anggota penguatkuasa serta sentiasa memberi sokongan kepada dirinya untuk terus berbakti kepada negara.
Katanya, dia sudah dua tahun berturut-turut bertugas di pagi raya dan menganggap perkara itu adalah rutin biasa seorang anggota maritim.
“Tahun lepas saya tidak dapat pulang berhari raya dan tahun ini saya terpaksa berkorban lagi demi melaksanakan tugas hakiki.
“Saya sudah berkhidmat dalam pasukan Maritim Malaysia selama 17 tahun jadi isteri dan anak-anak sudah faham,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sembilan dan Melaka, Komander Norihan Ngah berkata, bagi anggota maritim sentiasa diberi peluang silih berganti untuk berhari raya bersama keluarga.
“Kita ada jadual yang mana saling bertukar-tugas untuk semua petugas merasai Hari Raya Aidilfitri dan kita tidak mengenepikan kebajikan mereka yang mahu berhari raya bersama keluarga.
“Namun, apa yang menjadi keutamaannya adalah anggota yang bertugas sentiasa peka terutama dalam tempoh tiga atau empat hari sebelum hari raya kerana penjenayah di perairan ini akan mengambil kesempatan.
“Itulah masa yang diambil kerana mereka beranggapan ketika itu kita mungkin leka dengan keadaan sebaliknya kita akan sentiasa mematahkan aktiviti rentas sempadan dengan kehadiran anggota penguatkuasa setiap masa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.