Kopi ‘Liberica’ subur di bumi Merlimau

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

MERLIMAU 1 Ogos – Aroma kopi yang dipanggang hasil tuaian di sebuah ladang di Kampung Sebatu, di sini, membangkitkan haruman semerbak sebaik pasukan Melaka Hari Ini menjejakkan kaki.

Istimewanya, tanaman kopi secara komersial yang diusahakan suami isteri, Mamad Khamis, 62 dan Jamilah Abbas, 61 itu menjadi satu-satunya yang masih bertahan di Merlimau sehingga kini.

Menurut Mamad, tanaman yang diusahakan sejak tahun 2012 itu menyaksikan pelbagai memori pahit manis dan jatuh bangun mereka, sehinggalah kini berjaya menghasilkan produk jenama kopi sendiri.

“Berbekalkan simpanan sendiri selepas berpencen, 1,000 batang anak kopi jenis ‘Liberica’ ditanam di tanah seluas 2.43 hektar pada tahun 2012.

“Anak pokok itu ditempah dari Pontian, Johor hasil saranan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kluang ketika itu.

“Alhamdulillah, berbekalkan ilmu di internet dan perkongsian saudara-mara serta sehabat terdekat perusahaan ini kini menjadi sebahagian daripada peneman saya ketika berpencen,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

6147756049818565763
POKOK kopi Liberica yang subur di ladang diusahakan Mamad.

Menurut pesara sebuah syarikat telekomunikasi itu, Merlimau dahulunya dikenali sebagai pengeluar kopi dan koko terbesar di Melaka.

Katanya, sekitar era 70-an, setiap rumah di Merlimau mesti mempunyai tanaman kopi dan koko sebagai satu sumber untuk menjana pendapatan, termasuklah arwah datuk dan ayahnya.

“Namun, disebabkan harga pasaran koko yang meningkat ketika itu ramai orang kampung nekad menebang pokok kopi dan menumpukan tanaman koko ketika itu sehinggakan hari ini tiada lagi siapa yang mahu mengkomersialkan penanaman ini.

“Alhamdulillah, saya berjaya mengekalkan tanaman ini di Merlimau, seterusnya menyambung legasi yang ditinggalkan,” katanya.

6147756049818565747
MAMAD menunjukkan kaedah memproses kopi. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, Jamilah berkata, hasil kerja keras berbudi kepada tanah, kini kira-kira 1,000 kilogram biji kopi mampu dituai di ladang tersebut sehingga mereka berjaya menghasilkan produk sendiri yang dinamakan Kopi Wafiy.

Menurutnya, semua itu dilakukan hasil kajian dan mempelajari pelbagai teknik penghasilan produk kopi sehingga berjaya mencipta lima variasi produk minuman berasaskan kopi.

Katanya lagi, mereka juga sanggup melabur dengan membeli sebuah mesin kopi di Bengkalis, Indonesia bagi memastikan kopi berkualiti dapat dihasilkan.

6147756049818565765
PRODUK minuman kopi yang dihasilkannya dan dipasarkan di kedai-kedai runcit. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Sebenarnya, proses pembuatan kopi ini agak merumitkan kerana perlu menjalani pelbagai proses berbeza iaitu mengasingkan biji kopi, menjemur lebih kurang sebulan, mengasingkan kulit ari, memanggang, menggoreng, mengisar dan akhirnya dipek rapi sebelum dijual di pasaran.

“Kebanyakan produk kami dipasarkan di kedai-kedai runcit dan alhamdulillah produk ini juga menerima pengiktirafan di bawah Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan sebagainya.

“Malah, produk ini menerima perhatian daripada pelbagai pihak termasuk pengusaha dari Jepun yang mengatakan kopi yang ditanam di Malaysia mempunyai citarasa istimewa berbanding negara lain seperti Indonesia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

613
Kongsi :
Previous post Menara Taming Sari lebih ‘bercahaya’
Next post 3 ‘pit stop’ tarikan Eco-Cruise Sungai Linggi
Ubah saiz-+=