Koperasi satukan produk kampung – Sulaiman

Masa Membaca:57 Saat

MASJID TANAH 7 Mac – Sebuah koperasi gabungan produk penduduk kampung di Gadek akan ditubuhkan bagi memastikan pasaran produk luar bandar di kawasan itu mampu diketengahkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali berkata, pihaknya telah mengenalpasti terdapat hampir 30 produk dihasilkan penduduk kawasan terbabit perlu disatukan dan dipasarkan dengan meluas.

“Kita minta semua agensi terlibat termasuk FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan agensi lain untuk mengadakan perbincangan dengan para pengusaha ini untuk memperluaskan perniagaan mereka.

“Dengan sambutan sempena Ramadan dan Syawal nanti perkara ini seiring untuk membantu mereka bagi menjana pendapatan lebih lebih lagi dalam memastikan kelangsungan hidup mereka dalam pasca penularan pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sihat @Masjid Tanah di Dewan Kompleks Japerun Lendu, di sini sebentar tadi.

Tambah Sulaiman, pelbagai pendekatan pemasaran akan diperkasakan buat pengusaha produk di kawasan itu dengan pelbagai pendedahan khususnya digital.

“Kita lihat pengusaha ini terdiri dalam kalangan yang kurang diberi pengetahuan dalam ekonomi digital jadi kita akan memastikan pendigitalan ini dapat diadaptasikan golongan ini bagi memastikan produk mereka terus menerus dipasarkan dalam platform itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post Tiada laporan banjir kilat hari ini – APM
Next post Malang di Bukit Beruang
Ubah saiz-+=