Sorting by

×

KOPERASI PERTAMA ADA LADANG LEMBU SENDIRI

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

AYER LIMAU 9 Oktober – Biarpun baharu memasuki tahun ketiga, Koperasi Surau Al-Hikmah Melaka Berhad (KOPSAH) menjadi koperasi pertama mempunyai ladang penternakan lembu sendiri di Felcra Ramuan China, di sini.

Kejayaan itu melayakkan KOPSAH menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul bagi kategori Koperasi Masjid dan Surau Terbaik 2024 Negeri Melaka.

Ahli Lembaga KOPSAH Kamarudin Othman berkata, fokus utama koperasinya adalah bidang pertanian dan penternakan lembu yang diternak mengikut standard syarie secara ‘fidlot’.

Whatsapp Image 2024 10 07 At 4.59.31 Pm
KAMARUDIN bersama pekerja yang membantu menguruskan ternakan lembu di ladangnya. Foto Mr Faiz Hasan

“Walaupun koperasi ini baharu dan tidak mempunyai perniagaan yang besar, tetapi kami tumpukan kepada satu bidang iaitu pertanian serta penternakan.

“Ini kerana kita tahu setiap tahun orang melaksanakan sembelihan (ibadah korban) bukan sahaja di Melaka tetapi seluruh Malaysia.

“Alhamdulillah berkat kerjasama semua ahli KOPSAH kita dapat bekalan lembu ‘Brahman’ dari Kanchanaburi, Thailand dengan anggaran berat 220 kilogram (kg) seekor,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ditanya mengenai tempahan lembu, Kamarudin berkata pihaknya menumpukan kepada pasaran di negeri Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kami diberikan tapak secara sewaan oleh Felcra Berhad, dengan adanya ladang moden yang lengkap ini kita dapat memastikan kesihatan ternakan (lembu).

“Ibadah korban bukan hanya kawasan kariah surau, tetapi tumpukan kepada beberapa negeri dan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Whatsapp Image 2024 10 07 At 5.03.26 Pm
KAMARUDIN menunjukkan tempat untuk menimbang lembu yang baru sampai di ladang berkenaan. Foto Mr Faiz Hasan

Katanya, dengan kekuatan seramai enam ahli dan pembantu khas surau, KOPSAH mampu melakukan sembelihan sebanyak 40 ekor lembu dalam tempoh yang singkat.

“Selepas sembelihan, kita akan terus melapah, biasanya pada waktu asar semua urusan sudah siap termasuk agihan daging korban kepada peserta, asnaf dan orang ramai.

“Seekor lembu kita boleh dapat keuntungan RM200 hingga RM400, jika ternakan sendiri akan lebih banyak keuntungan cuma ia memerlukan modal yang besar.

“Biasanya kita akan ambil deposit RM500 dan baki selebihnya dibayar tiga hari sebelum penghantaran lembu, bagi kawasan Melaka kita hantar secara percuma sahaja.

“Harga seekor lembu jika antara koperasi adalah RM4,500, tetapi untuk jualan selain koperasi RM4,900 seekor,” katanya.

Whatsapp Image 2024 10 07 At 5.07.37 Pm
ANTARA peralatan digunakan untuk mengikat lembu korban. Foto Mr Faiz Hasan

Mengulas lanjut, Kamarudin berharap perniagaan ternakan lembu koperasinya terus mendapat sambutan pada tahun akan datang.

“Insya-Allah tahun hadapan kita akan wujudkan kempen ‘Satu Keluarga, Satu Ekor Lembu’ yang mana setiap keluarga boleh berkongsi untuk membuat tempahan lembu korban.

“Sebagai contoh jika ada tujuh beradik, mereka boleh berkongsi wang untuk beli seekor lembu dijadikan ibadah korban untuk keluarga mereka.

“Untuk permulaan kita utamakan kempen ini di Negeri Melaka dan surau kami di Taman Seri Pandan, Lorong Pandan dahulu, jika berjaya baru kita perluaskan di negeri lain pula,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1857
Kongsi :
Previous post PERHILITAN PANTAU BUAYA ‘VIRAL’ DI KAMPUNG MORTEN
Next post ZOO MELAKA MAHU PERKENAL PELBAGAI PROGRAM DAN PAKEJ MENARIK PADA 2025
Ubah saiz-+=