Koperal tak sempat jumpa anak, maut rempuh lori
ALOR GAJAH 23 November – Hasrat seorang anggota polis berpangkat Koperal yang ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan anaknya tidak kesampaian, apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 217.1 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa Kamarul Arif Mat Noor, 32, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.
Difahamkan, mangsa yang bertugas di Balai Polis Putra Heights Subang Jaya, Selangor, dalam perjalanan pulang ke Kampung Musai, Bukit Baru, di sini, selepas dimaklumkan anaknya demam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R dan lori muatan perabot dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan.
“Siasatan dijalankan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 42 tahun berada di lorong tengah sebelum mengubah laluan ke lorong paling kiri.
“Mangsa yang ketika itu berada di lorong kiri cuba mengelak ke kanan tetapi terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori,” katanya.
Menurutnya, akibat perlanggaran itu mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki kemudian disahkan meninggal di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.
“Kedua-dua kenderaan kini ditahan sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.