Sorting by

×

KONVOKESYEN UTEM KE-20 RAI 3,459 GRADUAN, ANUGERAH TEJA DIPERKENALKAN

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

DURIAN TUNGGAL 7 November – Seramai 3,459 orang graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bakal diraikan pada Majlis Konvokesyen UTeM ke-20 yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 November ini.

Majlis penuh gilang-gemilang itu akan diadakan di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr. Massila Kamalrudin berkata, pada tahun ini jumlah keseluruhan graduan UTeM adalah paling ramai dalam sejarah, begitu juga graduan Ijazah Doktor Falsafah.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, graduan Ijazah Doktor Falsafah adalah seramai 120 orang, Ijazah Sarjana seramai 159 orang, Ijazah Sarjana Muda seramai 2,683 orang dan diploma pula 497 orang.

Katanya, peningkatan itu turut melonjakkan angka peratusan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) UTeM kepada 70.3 peratus (2,236 orang) meningkat berbanding tahun lalu sebanyak 68 peratus.

“Menariknya lagi pada tahun ini UTeM turut memperkenalkan anugerah terbaharu iaitu Anugerah TEJA yang bakal dianugerahkan kepada graduan ikon mahasiswi yang telah mengharumkan nama universiti dalam pelbagai aspek seperti pembangunan akademik dan kerjaya, kepimpinan, etika dan kerohanian, sukarelawan dan khidmat komuniti, kebudayaan dan identiti nasional, sukan dan rekreasi serta teknikal dan inovasi.

“Anugerah TEJA merupakan kesinambungan Anugerah TUAH yang telah diberikan kepada ikon graduan dalam kalangan mahasiswa pada siri majlis konvokesyen UTeM sebelum ini,” ujarnya.

Massila berkata, Anugerah TEJA itu merupakan salah satu daripada anugerah utama yang diberikan UTeM di samping Anugerah Pelajaran Diraja, Hadiah Canselor, Hadiah Naib Canselor, Hadiah Industri, Anugerah Kecemerlangan Industri, Anugerah Khas Huffaz Profesional dan Anugerah TUAH.

“Seramai 78 orang graduan akan menerima anugerah-anugerah utama berkenaan yang akan disampaikan sewaktu sesi pertama pada hari pertama majlis konvoksesyen nanti,” katanya lagi.

Menyentuh tentang Anugerah Kecemerlangan Industri dan Anugerah Industri, uniknya UTeM telah mendapat tajaan khas daripada beberapa pihak industri untuk dianugerahkan kepada graduan cemerlang pilihan industri.

Antara anugerah terbaharu bagi Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Industri adalah dari UMW manakala selebihnya seperti sebelum ini daripada industri seperti Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd., Xinyi Glass Holdings, Samsung SDI Energy (M) Sdn. Bhd., STMicroelectronics Sdn. Bhd., Johnson Controls dan Onsemi.

Mengulas lanjut beliau berkata, Majlis Konvokesyen UTeM ke 20 akan diadakan menerusi enam sesi selama tiga hari berturut-turut dan turut diserikan dengan Pesta Konvo UTeM yang diadakan bermula dari 8 hingga 11 November nanti.

Pesta Konvo UTeM diadakan bertempat di Tapak Pesta Konvo berdekatan dengan Dewan Canselor yang bermula seawal jam 8 pagi hingga 11 malam dan orang ramai adalah dijemput bagi memeriahkannya dengan pelbagai aktiviti dan program menarik bakal disajikan kepada para pengunjung, di mana masuk adalah percuma.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

228
Kongsi :
Previous post BEG BERISI WANG TUNAI RM1 JUTA HILANG SELEPAS PROSES KUTIPAN
Next post WANITA SEDANG BERKEBUN PARAH DIREMPUH KERETA ELAK KUCING
Ubah saiz-+=