Konvoi Merdeka bakal meriahkan sambutan Hari Malaysia DUN Durian Tunggal
DURIAN TUNGGAL 14 September – Program Konvoi Merdeka Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal bersempena Sambutan Hari Malaysia Ahad ini, diatur dengan pelbagai pengisian berunsur patriotik dan kenegaraan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil berkata, konvoi bermotosikal membabitkan 100 peserta itu bermula seawal jam 8 pagi dari Taman Angkasa Nuri dan dijadualkan tamat di Kampung Belimbing Dalam.
Katanya, bukan sekadar berkonvoi sebaliknya setiap peserta memainkan peranan penting dan diberikan amanah untuk menyampaikan mesej berunsur patriotik kepada orang ramai di setiap persinggahan yang sudah diatur.
“Antara persinggahan konvoi adalah 10 kediaman yang difahamkan dihias indah dengan tema Hari Malaysia. Selain itu konvoi juga akan melalui kampung yang mengambil bahagian dalam pertandingan keceriaan untuk menentukan juara.
“Besar harapan saya agar program diatur memberikan impak kepada peserta selain mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan penduduk tanpa mengira usia di DUN Durian Tunggal ini,” katanya,
Beliau yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, pelbagai cara dilakukan rakyat untuk menterjemahkan rasa sayang mereka kepada negara.
Jelasnya, bagi warga DUN Durian Tunggal program konvoi berkenaan adalah antara cara mereka menterjemahkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam diri masing-masing.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.