Konvoi 144km promosi pelancongan Melaka
BANDA HILIR 5 Mac – Kerajaan negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) telah menganjurkan Konvoi Semarak Pelancongan Melaka 2022 dalam usaha menyemarakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.
EXCO Pelancongan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, program itu merupakan antara inisiatif untuk mempromosikan sub-sektor pelancongan sukan bermotor Melaka selaras dengan kebenaran rentas negeri yang telah bermula pada 11 Okt tahun lalu.
“Konvoi ini melibatkan lebih 100 orang peserta dengan laluan sejauh 144 kilometer dan beberapa perhentian seperti di Hotel Seri Malaysia, Puteri Bay Hotel, Amanjena Resort, Freeport A’ Famosa Outlet dan A’Famosa Resort.
“Pada masa yang sama, kita juga ingin mempromosikan Pakej Bufet Ramadan 2022 yang ditawarkan di seluruh hotel di Melaka terutamanya yang terlibat semasa dalam konvoi ini.
“Marilah kita sama- sama menyokong industri pelancongan Negeri Melaka terutamanya dalam sektor ‘food & beverage’ ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam Majlis Pelancaran Logo Revitalise & Rejuvenate Melaka 2022 serta Pelancaran Pencarian Pengunjung Ke-8 Juta Menara Taming Sari, di sini, hari ini.
Hadir sama, EXCO Kerja Raya Negeri Datuk Rahmad Mariman dan EXCO Belia dan Sukan Negeri V P Shanmugam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.