Sorting by

×

‘Kontraktor pembersihan jangan buat hal’

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

DUYONG 15 Jun – Ahli Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem mengingatkan kepada mana-mana kontraktor pembersihan mahupun syarikat konsesi di negeri ini supaya tidak mengabaikan spesifikasi tugasan yang ditetapkan.

Menurutnya, kontraktor yang dilantik perlu memastikan isu kebersihan khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong diselesaikan sewajarnya.

Menurutnya, isu kebersihan adalah fokus utamanya lebih-lebih lagi negeri ini bakal menerima kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Saya tegas dalam perkara ini untuk memastikan kebersihan Duyong terjamin kerana kalau kita gagal hari ini saya rasa sedikit hari lagi ia akan bermasalah pada kita.

“Mereka mungkin sudah terbiasa, sebab sebelum ini tak pernah ditegur mungkin dah ‘sedap’, jadi kita kena ubah segera kerana Ketua Menteri, Datuk Seti Ab Rauf Yusoh pun menitikberatkan isu ini agar kegemilangan Melaka sebagai negeri bersih dikembalikan segera,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu menilai semula pelantikan kontraktor dan syarikat konsesi bagi memastikan yang benar-benar layak sahaja dilantik.

Katanya, ia berikutan ada dalam kalangan kontraktor memberi alasan menerima harga yang rendah mengakibatkan kerja-kerja pembersihan dijalankan secara ala kadar.

“Ia bukan isu dari kontraktor sahaja, tapi ia isu besar, jadi kita kena lihat satu perspektif yang berbeza termasuk melihat bagaimana kontraktor ini dibantu supaya mereka boleh menghasilkan kerja yang lebih baik.

“Dan konsesi mahupun syarikat yang ada ini yang telah terlalu lama perlu dinilai semula agar mereka tak rasa yang mereka ini berkuasa sehingga mengabaikan spesifikasi tugasan yang sepatutnya mereka laksanakan.

“Selama ini kita tak tak pernah tahu siapa kontraktornya kerana yang kita tahu kerja itu kena diselesaikan dengan sempurna mengikut masa yang ditetapkan, tapi apabila ada banyak aduan dan pemantauan kita sendiri membuktikan kerja itu separuh jalan mulalah kita munculkan diri ‘tanya khabar’ mereka siapa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2919
Kongsi :
Previous post Kerajaan mahu segera laksana subsidi petrol bersasar, tapi sangat rumit – PM Anwar
Next post MBMB PBT pertama rangka Pelan Kecemasan Luar Tapak
Ubah saiz-+=