
Kontraktor, panel klinik PBT sahut cabaran hindari rasuah
AYER KEROH 9 Jun – Kontraktor dan panel lantikkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) diminta menyahut cabaran melaksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa sebarang perlakuan membabitkan aktiviti rasuah.
Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, bagi menyahut cabaran itu pihaknya membawa 24 kontraktor lantikan dan enam pemilik klinik panel di bawah pemantauannya melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
“Saya harap setiap kontraktor dan klinik panel peka dan tidak mengambil mudah akan polisi yang dikeluarkan oleh Bahagian Integriti Jabatan Khidmat Pengurusan MPHTJ.
“Saya menggesa kontraktor dan klinik panel memahami akan kandungan ikrar yang dilafazkan dan menjauhi perkara menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Integriti dan IBR Bersama Kontraktor Lantikan dan Panel Klinik MPHTJ di sebuah hotel, di sini, semalam.
Terdahulu Penolong Pengarah Pengurusan merangkap Ketua Unit Integriti MPHTJ, Nurul Shidah Saadon mengetuai bacaan IBR berkenaan.
Sapiah berkata, lafaz IBR antara langkah PBT dengan kerjasama SPRM Melaka untuk lebih konsisten membendung perbuatan rasuah dalam apa juga bentuk.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.