Kontraktor jangan takut bina RMR

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

ASAHAN 25 September – Kerjasama daripada kontraktor amat diharapkan dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu lebih ramai rakyat Melaka memiliki kediaman sendiri menerusi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, tidak dinafikan ada dalam kalangan kontraktor risau untuk terbabit dalam pembinaan RMR dikendalikan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berikutan pelbagai khabar angin yang negatif sebelum ini.

“Mungkin itu isu berlaku sebelum ini, tetapi sekarang tidak ada lagi, malah saya sendiri sudah berjumpa SPNB dan melihat jadual pembayaran yang dibuat agensi itu.

“Saya tidak menolak kemungkinan akibat kurang pendedahan dan hanya mendengar khabar angin sahaja ramai kontraktor yang takut.

“Kontraktor tidak perlu risau atau takut untuk bina RMR bukan sahaja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan sebalik di lokasi lain, kerana hasrat kita adalah mahu bantu rakyat memiliki kediaman,” katanya.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata demikian ketika ditemui pada Taklimat Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan TNB Dekat Di Hati Peringkat Parlimen Alor Gajah Melaka, di Dewan Hang Kasturi, Selandar, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah SPNB Melaka Khairul Azhar Abdullah dan Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka Khairizam Ibrahim.

Menurutnya, meskipun berstatus RMR, pembinaan kediaman itu masih memberikan pulangan kepada kotranktor yang terbabit selain mereka juga boleh memohon bajet tambahan sekiranya perlu.

“Ada yang mengatakan mereka tidak untung, tetapi jika dilihat semula bagi setiap rumah mereka ini memperoleh sekitar RM8,000 hingga RM12,000. Mungkin sebelum ini (terkesan) kerana harga barang pembinaan naik tetapi sekarang sudah diselaraskan oleh SPNB.

“Selain itu kontraktor berkeperluan juga boleh memohon bajet tambahan daripada SPNB sekiranya perlu, justeru kontraktor ini jangan takut untuk bina RMR,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2125
Kongsi :
Previous post Abang tiri ditahan bantu siasatan kanak-kanak perempuan lemas ketika mandi kolam
Next post The Prayer Mat buka cawangan di Dataran Pahlawan: Dari ‘Haramain’ ke bumi Melaka
Ubah saiz-+=