Kontraktor diarah buat siasatan menyeluruh insiden di tapak projek LRT 3

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR 30 Julai – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengarahkan kontraktor turnkeynya, MRCB George Kent Sdn Bhd, untuk menjalankan siasatan menyeluruh susulan insiden runtuhan perancah besi struktur pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Bandar Bukit Tinggi, Klang semalam.

Prasarana, dalam kenyataan berkata punca kejadian masih belum dapat dipastikan, dan kontraktor dikehendaki menyediakan laporan terperinci serta langkah-langkah mitigasi bagi memastikan kejadian itu tidak berulang pada masa depan.

“Kami percaya keselamatan adalah paling utama dan ia memerlukan perhatian dan komitmen menyeluruh daripada semua pihak yang terlibat untuk memastikan keselamatan tapak kerja secara keseluruhan adalah terjamin dan kami mematuhi peraturan keselamatan sepanjang masa.

“Prasarana akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk untuk segera menjalankan siasatan kami sendiri mengenai perkara itu serta menghulurkan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan menyeluruh dan bebas dapat dijalankan.

“Kami menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada mereka yang terjejas dan takziah kepada keluarga si mati.

“Kami berdoa mereka yang mengalami kecederaan akan cepat sembuh dan akan memastikan kesejahteraan mereka dan keluarga mereka diutamakan,” menurut kenyataan itu.

Petang semalam, seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut dan empat lelaki dalam lingkungan umur 30-an mengalami cedera ringan selepas perancah besi itu runtuh di tapak pembinaan LRT3 di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post Ordinan Darurat perlu dibahaskan bagi kemakmuran demokrasi
Next post Zii Jia mohon maaf kepada rakyat Malaysia
Ubah saiz-+=