Sorting by

×

Kontraktor baik pulih Surau Warisan sudah dilantik

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Perbadanan Melaka (MCORP) telah melantik kontraktor bagi membaiki kerosakan akibat kejadian siling runtuh di Surau Warisan di Banda Hilir.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan mengambil tanggungjawab dalam memastikan semua surau khusus di kawasan tumpuan pelancong diselenggara dengan baik.

“Seperti video mengenai Surau Warisan ini yang ditularkan, saya difahamkan MCORP sudah melantik kontraktor, cuma pihak kontraktor mungkin sedang dalam proses untuk masuk ke tapak.

“Susulan video yang tular saya terima banyak aduan, kita tidak menyalah mana-mana pihak. Tetapi jangan jadikan alasan kononnya kita tidak mengambil perhatian terhadap surau-surau yang ada di negeri ini, terutama kawasan ‘hotspot’ pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Bil 5/2023 dan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBMB Tahun 2023 di Dewan Taming Sari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkiflee Mohd Zin; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Ketua Ahli Majlis MBMB, Clr, Abd Razak Abu dan Setiausaha MBMB, Ahmad Azlan Ahmad Salleh.

Katanya, MBMB dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain juga diminta untuk memberikan perhatian terhadap perkara berkenaan.

“Saya minta MBMB dan semua PBT terlibat dalam mesyuarat ‘post exco’ akan datang agar memberi perhatian kepada isu seperti ini, surau tempat yang mulia untuk umat Islam menunaikan solat.

“Tidak elok dibiarkan begitu, apa pandangan masyarakat dan pelancong terutama dalam keadaan kita mahu menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) nanti.

“Insya-Allah saya akan pastikan semua surau di Melaka ditambah baik dan isu seperti ini kalau boleh kita kosongkan pada masa akan datang,” katanya.

Rais turut menasihatkan semua pengurusan swasta untuk menjaga kebersihan tandas di setiap premis di bawah seliaan mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1223
Kongsi :
Previous post MBMB perkenal dua anugerah hargai kakitangan
Next post Percubaan zon bebas kenderaan setiap Sabtu
Ubah saiz-+=