Sorting by

×

Konstabel baru pindah Sibu mati ditembak rakan sendiri

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SIBU 7 Mei. – Seorang konstabel polis lelaki ditemukan mati di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9, Taman Permai di sini semalam dipercayai tertembak oleh rakannya yang juga seorang anggota polis yang menyewa rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi lewat malam tadi berkata, anggota yang dikenali sebagai Norhalim Tumiran, 25, dijumpai dengan kesan tembakan di kepala selepas laporan mengenai kejadian itu diterima sekitar 7 malam.

“Kami dimaklumkan seorang anggota polis ditemukan mati dengan kesan tembakan pada bahagian atas telinga kanan (kepala) dan masih terduduk di atas sofa di dalam rumah,” katanya tanpa memberitahu butiran lanjut kejadian.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit

Menurutnya, si mati yang baru sebulan setengah berpindah tugas ke sini setelah menamatkan latihan asasnya sebagai anggota polis dikatakan datang ke rumah sewa berkenaan yang didiami dua rakan polisnya untuk bermain permainan komputer sebelum waktu berbuka puasa.

Mangsa yang tinggal di rumah transit di IPD Sibu mempunyai seorang isteri dan seorang anak berusia setahun.

Stanley yang sebelum itu turut meninjau tempat kejadian selepas menerima laporan insiden itu berkata, mangsa bertugas di Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.

Menurutnya, laporan awal kejadian tersebut telah dihantar kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Lukas Aket.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1318
Kongsi :
Previous post Raya dalam ‘kurungan’
Next post PUNB tawar skim pembiayaan baharu untuk individu diberhentikan kerja
Ubah saiz-+=