Konservasi orang utan di Zoo Melaka
AYER KEROH 19 Julai – Zoo Melaka komited memastikan kajian dan pemuliharaan orang utan dapat dilaksanakan bagi memelihara kelestarian spesies itu pada masa akan datang.
Jurucakap Pihak Pengurusan Zoo Melaka berkata, menyedari ancaman terhadap hidupan mamalia itu, satu kerjasama bersama Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah akan dipertingkatkan bagi meningkatkan bilangan spesies itu di negara ini.
Susulan itu, Pengerusi Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah Tan Sri Felina Tan Sri Datuk Dr. Mustapha Kamal telah mengadakan lawatan ke Zoo Melaka bagi membincangkan perkara tersebut.
“Hasil daripada lawatan itu, Yayasan berkenaan positif untuk membantu Zoo Melaka dalam usaha menambahkan bilangan orang utan di taman haiwan ini.
“Usaha yang dilaksanakan ini diharap dapat membantu meningkatkan kesedaran konservasi terhadap orang utan sekali gus menambahkan lagi statistik pembiakan spesies itu di negara ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut jurucakap berkenaan, antara usaha yang akan dilakukan ialah membiakkan orang utan betina berusia sekitar 40 tahun bernama Mardiah dengan orang utan jantan dinamakan Phat-Phat yang telah dipelihara Zoo Melaka hasil sumbangan yayasan berkenaan pada 2021.
“Setakat ini, pihak pengurusan sedang mengkaji supaya kedua-dua spesies ini dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran supaya boleh menjalani proses pembiakan pada masa akan datang,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.