![Img 20250215 220608 874](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_20250215_220608_874.jpg?v=1739628803)
KONSERT @TANJUNG BIDARA BERLANGSUNG MERIAH
TANJUNG BIDARA 15 Februari – Hujan tidak menghalang lebih 5,000 pengunjung membanjiri Dataran Tanjung Bidara untuk menyaksikan Konsert@Tanjung Bidara, Majlis Penutup Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati Dan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 di Pantai Tanjung Bidara, di sini, malam ini.
Konsert itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara yang ditemani isteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.
Yang turut hadir adalah pegawai kanan Tentera Darat Malaysia iaitu Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi Latihan dan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin, Komander Artileri Divisyen Ke-3, Brigedier Jeneral Datuk Khairul Izan Muhammad Suffian serta Panglima 10 Briged (Para) Brigedier Jeneral Khairul Anwar Soib.
Sementara itu antara barisan artis yang membuat persembahan adalah Datuk Amy Search, Ameng, Man Kidal dan Zamani.
Difahamkan, pengunjung turut berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah yang disediakan antaranya motosikal, barangan elektrik dan hamper.
Untuk rekod, penganjuran Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati Dan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2025 merupakan antara medium terbaik dalam mengeratkan lagi hubungan antara tentera dan orang awam.
Karnival tersebut berlangsung sepanjang tiga hari dengan penganjuran pelbagai program bertempat di Pantai Tanjung Bidara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.