Konsep Madani angkat martabat manusia, bantu pembangunan negara – KM
SERI NEGERI 13 Februari – “Konsep Madani mengangkat martabat manusia dan menegakkan keadilan yang menjadi asas penting dalam konteks pembangunan serta peradaban negara,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Beliau berkata selaras dengan hasrat Perdana Menteri, konsep Madani juga mengangkat ketamadunan masyarakat dalam pembangunan insan.
“Dalam Gagasan Madani seperti mana Perdana Menteri nyatakan, ia mampu melahirkan rakyat Malaysia yang maju dan tinggi tamadunnya, kemajuan bukan dinilai daripada kebendaan atau ekonomi, tetapi daripada segi pemikiran dan peradaban.
“Terdapat enam tonggak Gagasan Madani dan akronimnya M adalah kemampanan, A (kesejahteraan), D (daya cipta) A (hormat), N (keyakinan) dan I (ihsan), jadi dalam konteks Malaysia Madani ini kita ada acuannya.
“Sebagai contoh kalau kita nak dihormati orang lain, kita juga mesti hormat orang lain, terapkan budaya hormat menghormati.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Bil 2/2023 di Auditorium Seri Negeri di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan dan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Yang turut hadir Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri ,V.P Shanmugam serta lain-lain barisan Exco Kerajaan Negeri.
Pada majlis tersebut, Sulaiman turut menyaksikan penyerahan Malaysian Book of Record (MBOR) kepada Institut Tun Perak (ITP) di atas penganjuran Program Motivasi Atas Talian “OnMotivation” yang disertai jumlah pelajar terbesar dalam negera.
Anugerah itu telah disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari (kanan) kepada Ketua Pegawai Eksekutif ITP Dr Mohamad Ainuddin Iskandar Lee.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.