KONPES martabat Bahasa Melayu di mata dunia
AYER KEROH 14 Jun – Konvensyen Pemuisi Sedunia (KONPES) kali ke-2 bakal diadakan di Bachok Kelantan, September depan bakal memartabatkan Bahasa Melayu ke peringkat dunia.
Penaung Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Tan Sri Dr. Hamad Kama Piah Che Othman berkata konvensyen tersebut bakal mengumpul 200 pemuisi dari 20 negara.
Katanya, antara negara yang sudah bersetuju menghantar wakil seperti China, Rusia, Singapura, Indonesia, Thailand, Belanda, Korea Selatan dan beberapa negara lain.
“Penganjuran konvensyen kali kedua berkenaan bagi memartabatkan Bahasa Melayu ke peringkat Antarabangsa dan sebarang komunikasi pada konvensyen berkenaan akan dijalankan dalam bahasa melayu.
“KONPES ini juga mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta luar negara, bahkan KONPES ini pun telah pun dibuat sebelum ini ketika pandemik COVID-19, namun ianya secara maya dan mendapat penyertaan dari 14 negara.
“Dan kali ini, kita adakan secara fizikal buat julung kali, peserta akan mendeklamasi serta berbicara tentang puisi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Hari Puisi Malaysia (HPM) di Bilik Tun Sri Lanang, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, di sini, malam tadi.
Sambutan HPM itu dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Prof. Datuk Seri Awang Sariyan dan Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim @Wanrazuhar.
Mengulas lanjut, jelasnya, HPM yang disambut setiap tahun pada tanggal 13 Jun itu akan menjelajah ke seluruh negeri.
“Bermula di Melaka pada tahun ini, kita akan membuat sambutan HPM ini ke seluruh negeri sebagai usaha bagi memperluas program Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) ke seluruh negara sekali gus mendekatkan seni puisi kepada masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.