Kongsi rezeki bubur lambuk dengan pengguna jalan raya
SUNGAI RAMBAI 11 APRIL – Sebanyak 500 bekas bubur lambuk berjaya diagihkan kepada pengguna jalan raya yang melalui Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Sungai Rambai menghala Bandaraya Melaka, dalam masa kira-kira dua jam, petang tadi.
Program tahunan setiap kali Ramadan itu merupakan inisiatif Orang Kampung (OK) Group.
Pengarah Urusan OK Group Habibul Ajmi Manggar berkata, program pengagihan bubur lambuk itu sudah diadakan sejak lebih 10 tahun lalu sebagai tanda berkongsi rezeki bersama orang ramai.
“Ini memang acara tahunan OK Group setiap kali Ramadan, kita masak dan akan edarkan kepada orang ramai.
“Untuk tahun ini penganjuran turut membabitkan agensi kerajaan seperti Majlis Perbadanan Jasin (MPJ) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding tahun sebelum, kami bergerak sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Amal Ramadan OK Orang Kampung yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi dan Yang Dipertua MPJ Rosemanizam Mohammed Nalif.
Menurutnya, penganjuran itu juga adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain dapat mengeratkan silaturahim antara OK Group dengan agensi kerajaan.
“Selain dapat bekerjasama, program ini secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim yang sedia terjalin.
“Selain program bubur lambuk ini pihak kami turut mengadakan beberapa lagi CSR sepanjang Ramadan termasuk pembelian baju raya untuk anak yatim,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.