Kongsi rezeki, agih bubur lambuk

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Mac – Agihan bubur lambuk yang juga sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka Sdn Bhd diteruskan tahun ini bagi mengimarahkan lagi sambutan Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif PSH Melaka, Mohd Zahiruddin Ahmad berkata, pengagihan bubur lambuk itu bukan sahaja dalam kalangan warga PSH Melaka tetapi turut membabitkan pesakit dan juga orang awam bertujuan untuk berkongsi rezeki.

“Ini adalah acara tahun PSH Melaka sejak dulu lagi dan kita turut bekerjasama dengan Melaka Tourism Association (MTA) dan Ukhwah Harmoni Travel & Tours.

“Menerusi program ini ia secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan silaturahim bukan sahaja antara kakitangan PSH Melaka tetapi juga rakan strategik dan juga masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui pada Program Bubur Lambuk Ramadan 1445H di PSH, hari ini.

Terdahulu, Mohd Zahiruddin bersama Presiden MTA, Madelina Kuah dan Ketua Pegawai Eksekutif Ukhwah Harmoni Travel & Tours, Mohd Farid Eshak, mengagihkan bubur lambuk kepada pesakit sedang mendapatkan rawatan di wad PSH.

Mohd Zahiruddin berkata, menerusi Program Bubur Lambuk Ramadan 1445H itu pihaknya berharap ia dapat memberikan kegembiraan kepada semua penerima selain memupuk sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Menurutnya, selain agihan bubur lambuk, sepanjang Ramadan ini PSH Melaka turut mengadakan program moreh di rumah anak yatim dan majlis berbuka puasa.

“Pada Sabtu ini seramai kira-kira 40 kakitangan PSH akan berkonvoi ke lima rumah anak yatim di Melaka untuk bersahur dan menyampaikan sumbangan duit raya.

“Manakala pada 3 April pula satu majlis berbuka puasa turut diadakan bersama anak yatim dan asnaf. Pada hari itu juga kita akan menjemput bersama-sama pelanggan dan rakan strategik yang banyak menyokong pembangunan PSH,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

194
Kongsi :
Previous post Ab Rauf pacu Melaka ke tahap lebih baik
Next post AAGBS gerbang lahirkan graduan profesional
Ubah saiz-+=