
KONGSI ILMU URUS SISA PEPEJAL, PERLUAS KEMPEN KITAR SEMULA
JASIN 3 Mac – SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai rakan strategik dalam aspek pendidikan masyarakat yang menjurus kepada elemen komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam berkaitan pengurusan sisa pepejal, kelestarian alam dan amalan kitar semula.
MoU tersebut memberi penekanan kepada perkongsian ilmu berkaitan pengurusan sisa pepejal yang mampan melalui pembudayaan pengasingan sisa yang dijana di punca dengan tujuan untuk dikitar semula.
Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin, pihaknya bersama UiTM bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan dan pembangunan berkaitan kempen kesedaran awam, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal serta aktiviti kitar semula.
“SWM Environment berbesar hati dapat berkerjasama dengan UiTM dalam menjalankan penyelidikan ke arah mengubah perilaku rakyat di negara ini dalam mewujudkan gaya hidup yang lebih mampan dan prihatin terhadap kepentingan memelihara alam sekitar melalui pengurusan sisa pepejal yang berhemah dan melaksanakan aktiviti kitar semula.
“Kerjasama ini merangkumi perkongsian kepakaran, kemudahan, sumber serta maklumat yang diperlukan, di samping melibatkan warga universiti, khususnya para mahasiwa dan mahasiswi, di dalam program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) berkaitan kelestarian alam.
“Selain itu, inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat mempromosikan Amalan 3R iaitu ‘Reduce – Kurangkan, Reuse – Guna Semula dan Recycle – Kitar Semula’ dalam kalangan warga universiti serta menarik minat mereka untuk menyertai aktiviti kitar semula berganjaran menerusi program KITARecycle anjuran SWM Environment,” katanya.
Terdahulu, beliau mewakili SWM Environment menandatangani MoU tersebut, manakala pihak UiTM diwakili Rektor UiTM Cawangan Melaka Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini dalam satu majlis di UiTM Kampus Jasin.
Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Mohd Rasdi menyambut baik kerjasama itu dan mengalu-alukan SWM Environment sebagai rakan strategik dalam memperkasa penyelidikan serta perkongsian kepakaran dalam bidang berkaitan.
“Kerjasama ini secara tidak langsung membuka peluang kepada warga institusi pengajian tinggi seperti UiTM untuk bertukar pengetahuan, ilmu, dan kepakaran teknikal dengan SWM Environment, yang bukan sahaja dikenali sebagai syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, malah mempunyai lebih banyak bidang kepakaran yang boleh dikongsikan, khususnya kepada para penuntut,” katanya.
Selain itu, MoU itu turut menyaksikan persetujuan kedua-dua pihak mengadakan program latihan eksekutif dan profesional, seminar bersama, serta penempatan industri bagi kakitangan dan pelajar praktikal, selain meneroka kerjasama dalam bidang lain yang dipersetujui bersama.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.