Kongsi ilmu agama dengan saudara baharu
TANJUNG BIDARA 31 Julai – “Selagi mana ada peluang dan ruang untuk tambah ilmu agama, saya akan cuba usahakan.
“Ini bukan sahaja untuk diri saya tetapi juga untuk membantu rakan lain yang baru memeluk Islam mendalami ilmu agama,” itu kata Graduan Terbaik Sijil Asas Pengajian Islam Mualaf (SALAM), Myia Yuzrina Zalkis Ayol.
Myia Yuzrina Zalkis, 43, antara 14 mualaf di negeri ini yang terpilih mengikuti kursus SALAM selama enam bulan anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Balai Islam dengan kerjasama Universiti Islam Melaka (UNIMEL).
Menurutnya, walaupun sudah lama dirinya memeluk Islam dan mengucap syahadah sejak 2008 namun dia tetap merasakan masih ada lagi ilmu agama yang perlu dipelajari.
“Ketika memeluk Islam niat saya adalah untuk ‘menyelamatkan diri’ dan kesedaran fahami Islam juga hanya untuk diri sendiri namun dengan pengalaman yang selepas terbabit dengan NGO membuatkan saya sedar untuk lebih fokus mendalami Islam.
“Ini kerana di samping terbabit dengan NGO saya perlu berkongsi tentang kefahaman dan agama Islam kepada saudara baru mahupun dalam usaha menyebarkan dakwah.
“Jadi apabila Balai Islam mengadakan program mahupun kursus termasuk SALAM ini saya ambil peluang untuk menàmbah pengetahuan serta kefahaman tentang Islam agar dapat berkongsi dengan orang sekeliling,” katanya.
Myia Yuzrina Zalkis, berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Sijil Asas Pengajian Islam Mualaf (SALAM) 2023 yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman, di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Naib Canselor UNIMEL, Profesor Datuk Dr. Mohd Taib Dora; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad dan Penolong Setiausaha Balai Islam, Ustaz Mohd Nasir Wahab.
Myia Yuzrina yang berkhidmat sebagai pensyarah kejuruteraan mekanikal berkata, dengan inisiatif berterusan yang dibuat oleh Balai Islam dalam membimbing saudara baru, ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan mualaf dengan melibatkan diri dalam program diadakan.
“Seperti program SALAM ini ia diadakan secara percuma sahaja jadi peluang keemasan seperti ini perlu dimaanfaatkan sepenuhnya kerana kita tidak akan dapat di luar sana.
“Untuk itu saya seru buat semua rakan-rakan mualaf termasuklah sama ada yang baru mengucap syahadah betulkan niat dan tanamkan iman dalam diri apa tujuan untuk hidup kalau bukan untuk kejar reda dan dapatkan Allah S.W.T.
“Untuk itu teruskanlah pembelajaran sampai akhir hayat dan jadikan diri kita lebih berguna dan bermanfaat kepada semua orang ramai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.