Konflik Palestin-Israel: Pasukan MALBATT 850-10 di Lubnan selamat – Panglima ATM
KUALA LUMPUR, 23 Okt – Pasukan MALBATT 850-10 yang terlibat misi pengaman di Lubnan disahkan selamat walaupun keadaan tegang di sempadan negara itu susulan konflik Palestin-Israel.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata penugasan pasukan MALBATT 850-10 ketika ini berjalan seperti biasa.
“Alhamdulillah, walaupun keadaan agak tegang di sana (Lubnan) mereka berada dalam keadaan baik dan sihat,” katanya dalam sidang media pada Perbarisan Perintah Ulung Panglima ATM ke-22 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status keselamatan pasukan MALBATT 850-10 yang terlibat misi pengaman di Lubnan.
Media antarabangsa melaporkan pertempuran membabitkan kumpulan Hezbollah di selatan Lubnan yang bersempadan dengan Israel, kian memuncak di sebalik konflik Palestin-Israel. Mohammad berkata apabila pasukan MALBATT 850-10 dihantar ke Lubnan, segala pengarahan dan penugasan mereka adalah tertakluk kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan buat masa ini mereka kekal di negara berkenaan sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan.
“Mereka (PBB) akan mengeluarkan arahan sama ada MALBATT tetap di sana (Lubnan) atau kita berundur dan sebagainya.
“Doakan supaya tidak ada apa-apa kemalangan atau kecelakaan yang menimpa ke atas pegawai dan anggota-anggota MALBATT 850-10,” katanya.
Mohammad berkata sekiranya PBB mengarahkan MALBATT 850-10 berundur, maka pasukan berkenaan telah membuat persediaan pada sebilang masa untuk diatur gerak ke sebarang penugasan.
Turut hadir Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.