Sorting by

×

KONDA KONDI CENDERAMATA BUAT TETAMU WTD 2025, WTC 2025

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Mac – Permainan tradisional warisan Melaka  konda kondi diangkat sebagai cenderamata rasmi sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) serta Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC 2025) pada September depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu bertujuan untuk menarik minat, sekali gus menggalakkan orang ramai untuk aktif dalam sukan rakyat yang semakin dilupakan itu.

Katanya, hasrat itu juga adalah sebagai menyahut saranan Perdana Menteri bahawa semua cenderamata atau cenderahati yang akan diberikan kepada pengunjung dan pelancong yang termasuk tetamu luar negara mestilah berasaskan kraftangan Negeri Melaka.

“Melaka telah memulakan langkah baharu apabila mengolah kaedah permainan konda kondi ini dan menjadikan ia bertaraf dunia.

“Konda kondi ini akan menjadi cenderamata sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri untuk menteri-menteri pelancongan yang akan berkampung di Melaka sempena WTD 2025 dan WTC 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Program Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2025, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta barisan kenamaan lain.

Menurut Ketua Menteri, buat julung kalinya juga Kerajaan Negeri mengangkat kembali sukan tradisional dam aji.

“Dalam usaha ini juga, kita turut memberi tumpuan utama kepada pelancongan sukan sebagai sebahagian daripada langkah untuk memperkukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama.

“Usaha mengangkat sukan tradisional ini juga antara lima teras utama yang menjadi pemangkin bagi pembangunan serta kemajuan industri pelancongan Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post MELAKA SAH DIPILIH LOKASI PELANCARAN VM 2026
Next post PERUNTUKAN LEBIH RM400,000 PERKUKUH INSTITUSI KEAGAMAAN