Kompleks JKKN Melaka dinaik taraf, ditutup hingga Ogos
KESIDANG 25 Mei – Kompleks Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka akan ditutup selama tiga bulan bermula Jun sehingga Ogos bagi kerja-kerja naik taraf.
Pengarah JKKN Melaka Ezlina Alias berkata, kerja-kerja naik taraf itu bagaimanapun hanya melibatkan bangunan panggung sahaja memandangkan keseluruhan kompleks itu telah dinaik taraf tahun lalu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kali ini kita tutup tiga bulan bagi kerja-kerja menaik taraf sistem pengudaraan, sistem penataan bunyi dan lampu.
“Kerja-kerja naik taraf ini menelan kos RM1.3 juta menerusi peruntukan tambahan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Bulan November akan dibuka sepenuhnya dan pelbagai aktiviti serta program akan dilaksanakan sekali gus menyemarakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024(TMM2024),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sepetang JKKN Melaka bersama Media Melaka 2024 di sebuah pusat hiburan keluarga, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ezlina berkata, kerja baik pulih dan naik taraf itu wajar dilaksanakan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan artis kebudayaan.
“Kita nak semua orang yang datang ke Kompleks JKKN Melaka yang telah bertapak lebih 20 tahun itu nanti selesa dan gembira.
“Buat masa ini semua program latihan dan bengkel telah dialihkan ke lokasi bersesuaian sementara kerja-kerja naik taraf dilakukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.