Sorting by

×

Kompleks JKKN ditutup hingga November

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Kompleks Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka akan ditutup bermula Jun sehingga November bagi kerja-kerja baik pulih.

Exco Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kerja penyelenggaraan kompleks tersebut akan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, kompleks JKKN Melaka yang dahulunya dikenali sebagai Taman Budaya Melaka akan diselenggara bagi persiapan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Kompleks ini telah memasuki usia 20 tahun dan sudah beratus- ratus persembahan dijayakan di panggung (kompleks) ini.

“Sebagai persiapan TMM2024, panggung ini akan ditutup selama lima bulan bagi kerja-kerja baik pulih.

“Terdapat beberapa kerosakan akibat dua tahun ditinggal berikutan pandemik COVID-19 lalu, jadi kita akan selenggara bagi mempersiapkan untuk menyambut TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Menyemarak Seni dan Budaya: Gegau Seni Budaya @Melaka (GSBM) dan pementasan teater muzikal Cak Kun Cak Melaka 2023 di Kompleks Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka, di sini, malam tadi.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang turut menyaksikan menyaksikan pementasan teater muzikal tersebut sehingga tamat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Amran Mohd Haris dan Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Elias serta kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1503
Kongsi :
Previous post Teater muzikal Cak Kun Cak angkat kisah riuh rendah ‘kerja kahwin’
Next post TMM2024: Sasar 120,000 pelancong Filipina ke Melaka
Ubah saiz-+=