KOMPLEKS HANG TUAH CENTRE DILENGKAPI TEKNOLOGI CANGGIH

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

DUYONG 24 September – Perkampungan Hang Tuah kini dikenali sebagai Kompleks Hang Tuah Centre selepas kerja naik tarafnya siap sepenuhnya dan bakal dibuka semula kepada orang ramai, tidak lama lagi.

Kerja naik taraf dengan peruntukan RM4 juta itu menyaksikan kompleks itu kini dilengkapi dengan teknologi baharu dan terkini, termasuk segmen interaktif dan ‘virtual reality’ (VR) sebagai penarik kepada generasi muda.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Roslan Abdul Rahman berkata, kerja-kerja naik taraf itu merupakan salah satu daripada tiga projek di Melaka yang telah diluluskan Kementerian Kewangan di bawah Peruntukan Khas: Kumpulan Wang COVID-19 pada tahun 2021.

“Saya harap dengan pelbagai kemudahan, kecanggihan teknologi yang digunakan di Kompleks Hang Tuah Centre ini dapat menarik lebih ramai pengunjung bagi menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan seterusnya Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026.

“Ia berupaya menjadi satu nilai tambah dalam menarik kehadiran pelancong ke Negeri Melaka, seterusnya akan dapat melonjakkan lagi jumlah kedatangan pelancong domestik mahupun luar negara ke Negeri Melaka.

“Situasi ini juga akan memberikan kesan berganda, bukan sahaja kepada industri pelancongan malah kepada industri-industri lain yang terdapat di Negeri Melaka serta secara tidak langsung akan memberikan kesan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Kerja- Kerja Menaik Taraf Kompleks Hang Tuah Centre, di sini, malam tadi.

Pada majlis itu juga turut diadakan acara menandatangani dan penyerahan dokumen serta serahan Replika Kunci Hang Tuah Centre daripada Pengarah JKR Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar kepada Roslan; Roslan kepada Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah yang disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong merangkap Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Md Azhan Samat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

110
Kongsi :
Previous post IBU SAKSI DUA ANAK MAUT DEPAN MATA
Next post SRA JAIM BAKAL DIJENAMAKAN DENGAN NAMA TOKOH ILMUAN ISLAM
Ubah saiz-+=