Kolej Kemahiran Tinggi MARA lakar sejarah terima Anugerah Platinum APACC
KUALA LUMPUR, 13 Feb – Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah, Melaka melakar sejarah menjadi institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pertama menerima Anugerah Platinum daripada Suruhanjaya Pensijilan dan Akreditasi Asia Pasifik (APACC).
Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam kenyataan hari ini menyatakan selain kejayaan tersebut, enam lagi institusi di bawah agensi itu iaitu MARA-Japan Industrial Institute (MJII), KKTM Kuantan, KKTM Ledang, KKTM Sri Gading, KKTM Rembau dan KKTM Kemaman turut meraih Anugerah Emas yang diiktiraf bersama 32 pusat Institusi TVET lain di peringkat Asia Pasifik.
“Pengiktirafan tersebut membuktikan sistem pengajian di TVET MARA telah mencapai piawaian TVET antarabangsa, sekali gus membuktikan graduan kami berstandard dunia.
“Anugerah ini juga dapat meningkatkan kebolehpasaran dan memberi keyakinan kepada pihak industri serta masyarakat terhadap kualiti institusi TVET di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Bagi MARA, usaha mendapatkan pengiktirafan dan akreditasi di peringkat antarabangsa telah berjaya dicapai, selain akreditasi antarabangsa tersebut akan menambah baik jenama penyedia TVET tempatan, memudahkan artikulasi kelayakan serta membolehkan mobiliti pelajar.
APACC merupakan sebuah badan akreditasi pensijilan antarabangsa di bawah Colombo Plan Staff College For Technician Education berpusat di Manila, Filipina dan dianggotai 17 negara di rantau Asia Pasifik.
Tujuh kriteria yang dinilai bagi pengiktirafan APAC adalah tadbir urus dan pengurusan; pengajaran dan pembelajaran; sumber manusia; penyelidikan dan pembangunan; imej dan kemampanan; sumber lain dan sokongan kepada pelajar.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.