Kolaborasi strategik pembudayaan STEM beri manfaat kepada rakyat Melaka
DUBAI 30 Mac – Kolaborasi strategik antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pertukaran program pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dijangka memberi manfaat kepada rakyat negeri Melaka.
EXCO Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin menerusi catatan Facebooknya berkata, beliau menyertai delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba ke UAE semalam.
Katanya, dalam lawatan itu, pihaknya dibawa melawat sebuah pusat kajian teknologi, Taman Kajian Teknologi dan Inovasi Sharjah (SRTI Park) yang disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hussain Mohamed Al Mahmoudi.
“Paling menarik di sini juga letaknya ‘Sharjah Open Innovation Lab’ atau SoiLab yang menjadi pusat pembelajaran dan inovasi dari umur kanak-kanak sehinggalah industri besar seperti mesin 3D Printers.
“Perbincangan mengenai kolaborasi strategik yang berpotensi antara Malaysia dan UAE juga diadakan yang dipelopori sendiri oleh Datuk Seri Dr Adham Baba selaku Menteri MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) yang memfokuskan kepada pertukaran program pembudayaan STEM, teknologi angkasa serta peluang kerjasama sama ada dalam bidang sains mahupun inovasi.
“Semoga kolaborasi ini berjaya direalisasikan agar dapat memberikan manfaat yang besar buat Malaysia dan negeri Melaka khususnya,” katanya.
Terdahulu, Rais berkata delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan kerja ke sebuah pusat akademi Universiti Sharjah iaitu Akademi Astronomi, Sains Angkasa dan Teknologi Sharjah (SAAST).
Rais berkata, dalam lawatan itu, penerangan jelas diberikan berhubung peranan akademi berkenaan sebagai pemacu bidang sains dan teknologi melalui penyelidikan ilmiah berimpah tinggi.
“Paling menarik, di sini juga terletaknya sebuah planetarium yang amat canggih,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.