Klip raya ‘panas’ ahli perniagaan dirujuk kepada JAKIM untuk tindakan
KUALA LUMPUR, 25 April – Klip video lagu raya seorang ahli perniagaan yang menjadi perdebatan dan perbincangan panas rakyat Malaysia telah dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dibawa kepada pihak berkuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata klip video itu yang diringi watak penari jauh daripada adab ketimuran dan ajaran Islam kurang sesuai untuk dikaitkan dengan kemenangan umat Islam pada bulan Syawal setelah menempuh ujian dan tarbiah dalam bulan Ramadan.
“Saya terpanggil untuk mengulas isu ini kerana ketika semua umat Islam teruja untuk mengejar 10 malam terakhir Ramadan mencari sebanyaknya pahala, seolah-olah isu ini saya khuatir menenggelamkan keghairahan umat Islam dalam mengejar rahmat takwa ini.
“Semua rakyat Malaysia dan seluruh umat Islam khususnya perlu menjaga sensitiviti kepada perkara yang berkaitan dengan agama dan menjaga batasan terhadap hiburan yang mahu ditonjolkan, apatah lagi negara kita baru nak pulih daripada ingatan Allah terhadap COVID-19,” kata Idris menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau.
Klip video ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ itu menunjukkan aksi beberapa penari lelaki bergelek dengan ada antaranya memakai singlet tetapi bersongkok.
Idris dalam pada itu menasihatkan agar klip video seumpamanya dikeluarkan daripada siaran di mana-mana platform media atau ditetapkan pada mod privasi untuk tatapan peribadi pemilik sahaja.
“Saya yakin ia mampu memberi jiwa besar dan hati lebih lapang jika kita patuh pada ajaran dan nilai agama yang tidak rugi pun jika kita menurutinya, malah insya-Allah akan melapangkan lagi rezeki kita,” katanya.
Berharap dapat bertemu dengan pemilik video itu, Idris turut menyeru masyarakat agar sentiasa berhati-hati dan cakna terhadap perkara yang boleh menyentuh sensitiviti agama yang semakin baik dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Jika ada peluang, mungkin saya boleh bertemu mata bersama dengan empunya video ini sebagai tanda ingatan dan ukhuwah sesama Islam, dan mungkin banyak perkara yang boleh dikongsi bersama dalam pertemuan ini. Insya-Allah,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.