Klinik Kanser Bergerak, bantu kesan kanser lebih awal
PENGKALAN BATU 5 Disember – Kerajaan Negeri akan menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bagi menyediakan Klinik Kanser Bergerak, sebagai usaha mengesan kanser di peringkat lebih awal.
Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata melalui Klinik Kanser Bergerak itu, orang ramai boleh melakukan pemeriksaan atau saringan kanser secara percuma.
Beliau berkata, sebelum ini kebiasaan klinik bergerak hanya menyediakan pemeriksaan kesihatan biasa tetapi sebagai usaha mengesan kanser di peringkat lebih awal, pendekatan pemeriksaan saringan secara bergerak di kawasan tumpuan ramai akan dilaksanakan.
“Kebanyakan pesakit kanser hanya mengetahui dirinya dijangkiti apabila sudah ditahap tiga atau empat, kita harap dengan usaha ini ia dikesan lebih awal, serta dapat dirawat juga lebih awal.
“Dalam tempoh antara 10 hingga 15 minit selepas pemeriksaan, keputusan saringan akan diperoleh dan sekiranya seseorang itu dikesan dijangkiti kanser, doktor bertugas akan mengaturkan rawatan seterusnya di hospital.
“Antara ujian yang dijalankan membabitkan kanser kolorektal, payudara dan prostat. Kita jangka Klinik Kanser Bergerak ini akan digerakkan seawal hujung bulan ini iaitu pada 31 Disember di Merlimau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Acara Relay For Lite (RFL) – Luminaria 2022 yang turut dihadiri Pengarah Urusan NCSM, Dr M Murallitharan dan Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika), Amir Mamat.
Akmal berkata, di Melaka saban tahun bilangan pesakit kanser menunjukkan peningkatan dan terdapat pelbagai faktor yang menjadi penyebab kepada penyakit itu.
“Pesakit kanser di Melaka ada peningkatan dari tahun ke tahun malah dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun juga menunjukkan peningkatan.
“Kanser ini banyak penyebabnya, misalnya bagi kanak-kanak, antara yang merisaukan kita adalah dari segi pemakanan tetapi tidak boleh kata pemakanan sahaja. Namun kerisauan kita adalah dari segi pemakanan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.